Tawassul yang sahih
Dalam al-Quran dan as-sunnah terdapat tiga jenis tawassul dalam doa yang digalakkan dan dibenarkan, bahkan diseru supaya kita beramal dengannya iaitu:
Pertama: Bertawassul kepada ALLAH SAW dengan nama-nama ALLAH yang Maha Indah dan sifat-sifat ALLAH yang maha tinggi seperti firman ALLAH SWT dalam surah al-A'raf ayat 180 yang bermaksud: “dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya dengan menyebut nama-nama itu...”. Maka kita digalakkan untuk menyeru ALLAH SWT dengan nama yang sesuai dan munasabah dengan permohonan kita seperti jika hendak memohon rezeki maka diseru: Ya RAZZAQ, berilah aku rezeki dan seumpamanya.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-A'raf ayat 180 yang bermaksud: “dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya dengan menyebut nama-nama itu...”. Maka kita digalakkan untuk menyeru ALLAH SWT dengan nama yang sesuai dan munasabah dengan permohonan kita seperti jika hendak memohon rezeki maka diseru: Ya RAZZAQ, berilah aku rezeki dan seumpamanya.
Kedua: Bertawassul kepada ALLAH SWT dengan menyatakan dalam doa kita amal-amal soleh yang kita lakukan dan ini sabit dalam doa-doa al-Quran antaranya firman ALLAH SWT dalam surah Ali Imran ayat ke-53 berkenaan doa kaum Hawariyyin: “Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu; oleh itu suratkanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu)”. Pada doa ini terdapat tawassul kepada ALLAH dengan menyatakan keimanan kepada ALLAH dan mutaba’ah (mengikut) Sunnah Rasul.
Ketiga: Bertawassul dengan memohon kepada orang-orang soleh yang masih hidup untuk mendoakan kita dan juga dengan doa saudara seislam antara mereka. Tawassul jenis ini adalah apa yang para sahabat Nabi SAW r.a lakukan dengan Rasulullah SAW di mana mereka memohon supaya Rasulullah SAW mendoakan untuk mereka seperti dalam hadis daripada Anas bin Malik r.a bahawa ketika mana Nabi SAW sedang berkhutbah maka datang seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, telah musnah kuda-kuda dan kambing-kambing (disebabkan tiada hujan) maka berdoalah kamu kepada ALLAH supaya Dia menurunkan hujan. Maka Baginda mengangkat tangan lalu berdoa. [HR al-Bukhari & Muslim].
Demikian juga semasa berlaku musim kemarau pada zaman Umar bin al-Khattab r.a beliau telah bertawassul dengan doa al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a untuk memohon hujan kepada ALLAH: Kata Anas bin Malik r.a bahawa Umar bin al-Khattab r.a jika tidak turun hujan maka beliau akan berdoa memohon hujan dengan perantara al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a, beliau berdoa: Ya ALLAH, adalah kami dahulu bertawassul kepada-Mu dengan Nabi kamu lalu kamu menurunkan hujan kepda kami, maka sekarang ini kami bertawassul pula kepada kamu dengan bapa saudara Nabi kami maka turunkan kepada kami hujan. Maka mereka pun diturunkan hujan. [HR al-Bukhari].
Tawassul Umar bin al-Khattab r.a dengan al-’Abbas r.a di sini bermaksud tawassul dengan doa beliau kerana beliau menyatakan dalam doanya bahawa mereka dahulu bertawassul dengan Nabi SAW dan sekarang mereka bertawassul setelah kewafatan Nabi dengan al-Abbas r.a dan dimaklumi dalam hadis yang pertama tawassul mereka kepada Nabi SAW adalah dengan memohon Baginda berdoa bagi pihak mereka.
Demikian juga dalam riwayat Zubair bin Bakkar bahawa setelah itu al-Abbas r.a berdoa: “Ya ALLAH, sesungguhnya tidak turun bala’ melainkan disebabkan dosa dan tidak diangkat melainkan dengan Taubat, dan mereka ini telah bermohon kepada-Mu melalui aku kerana kedudukan-ku di sisi Nabi Mu dan inilah tangan-tangan kami menadah kepada-Mu dengan penuh dosa dan ubun-ubun kami terserah kepada-Mu dengan penuh taubat maka turunkanlah kepada kami hujan”, seraya dengan itu juga hujan diturunkan. [Fathul Bari, 2/497].
Difahami juga daripada Hadis Umar bin al-Khattab ini bahawa Tawassul dengan doa orang soleh itu hanya dengan doa mereka semasa mereka masih hidup, disebabkan itu setelah Nabi SAW wafat mereka beralih daripada bertawassul dengan doa Nabi SAW kepada bertawassul dengan doa al-’Abbas r.a.
Adapun tawassul dengan bermohon kepada ALLAH melalui kedudukan (jah) dan berkat Nabi SAW atau orang soleh seperti dikatakan: Ya ALLAH, dengan berkat kemuliaan kedudukan Nabi-Mu di sisi-Mu.... dan seumpamanya maka ia tidak sabit dalam nas-nas hadis yang sahih sama sekali. Demikian juga bermohon doa kepada Nabi SAW atau orang soleh atau sesiapa sahaja yang telah mati seperti dikatakan di sisi kubur orang mati: “Wahai wali fulan, doakan untuk kami..” dan seumpamanya maka ini adalah Syirik Akbar (besar) yang menjadikan pelakunya murtad daripada Islam, nauzubillah min zalik.